OUR ADVERTISEMENT

Showing posts with label Ramadan. Show all posts
Showing posts with label Ramadan. Show all posts

Friday, August 5, 2011

Hadis-hadis Sahih mengenai Fadhilat di Bulan Ramadan



Assalamualaikum dan Salam Ramadan buat semua...

Bulan Ramadan datang lagi, alhamdulillah marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran kepadaNya kerana kita masih dipanjangkan umur untuk menemui bulan yang penuh barakah pada kali ini, seringkali juga disebutkan bulan Ramadan sebagai bulan 'pesta ibadah' di mana pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan Allah pasti ada bagi mereka yang merebut peluang yang diberikan untuk menjalani setiap amal kebaikan pada bulan keampunan ini.
Di bawah merupakan hadis-hadis sahih mengenai fadhilat Ramadan, sama-samalah kita renungkannya.


Rasulullah S.A.W bersabda :

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Rasulullah S.A.W bersabda :

“Demi Dzat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma (haruman) minyak kasturi”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1894)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Rasulullah S.A.W bersabda :

“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka. Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri, tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum – no: 1896)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Abu Umamah r.a berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tidak ada satu cara pun yang mampu menandinginya”
(Diriwayatkan oleh Ibn Hibban – no: 3494)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sabda Rasulullah S.A.W :

“(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-KU dan (sudah tentu) AKU sendiri yang akan memberi balasannya”
(Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam – no: 603)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sabda Rasulullah S.A.W :

“ Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-KU dan AKUlah yang memberi pahala puasanya”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas – no: 5927)

Al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani r.h berkata mengenai hadis di atas:

“ Ibadah puasa ini dianggap sebagai ibadah khusus untuk Allah kerana ia bebas daripada unsur riak. Ini kerana, perlaksanaannya tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Orang yang sedang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa sama sahaja dari segi luarannya. Berbeza dengan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir atau bersedekah yang mana perlaksanaannya dapat dilihat secara terbuka dan membuka ruang timbulnya perasaan riak. Oleh itu al-Imam al-Qurtubi r.h berkata: Disebabkan semua amal perbuatan yang ada ini dapat dimasuki unsur riak, sedangkan puasa itu hanya dilakukan semata-mata kerana Allah, tidak hairanlah Allah menisbahkan puasa itu kepada diri-Nya”

(Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Baari, jilid 11, halaman 20)

sumber


Tuesday, August 2, 2011

Kelebihan bersahur & waktu sahur yang dianjurkan oleh Nabi


عن ‏ ‏أنس ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏قال ‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏تسحروا فإن في السحور بركة

Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.

عن ‏ ‏زيد بن ثابت ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏قال ‏ ‏تسحرنا مع رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ثم قمنا إلى الصلاة قلت كم كان قدر ما بينهما قال خمسين آية

Hadis Zaid bin Thabit r.a katanya: Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun mendirikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat .

Bersahur hukumnya sunat. Walaupun sunat tetapi sangat besar manfaatnya. Iaitu:

  1. Manfaat untuk diri sendiri. Mendapat tenaga untuk berpuasa. 
  2. Mendapat pahala dengan percuma kerana ia adalah sunat dan sunnah Nabi SAW

Jadi rugilah mereka yang meninggalkan sahur.Ia juga salah satu amalan Nabi s.a.w.Mendapat pahala menghidupkan sunnah Nabi s.a.w. Dan waktu sahur ialah waktu yang penuh keberkatan. Puasa akan menjadi mudah. Tidak terlewat lagi bagi mereka yang berniat untuk bersahur.

Pengajaran Hadis:
  1. Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran. 
  2. Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.
  3. Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa. 
  4. Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T. 
  5. Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

sumber

Monday, August 1, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Sahru Ramadan


Assalamualaikum kepada muslimin & muslimat…

Alhamdulillah segala puji-pujian untukNya kerana kita semua dipanjangkan umur untuk dipertemukan lagi Ramadan tahun ini.

Salam Ramadan buat kaum muslimin dan muslimat seluruh dunia, semoga Ramadan tahun ini memberikan seribu satu keinsafan serta rahmat yang melimpah-ruah daripadaNya dan semoga amal serta kebajikan yang kita lakukan pada bulan yang mulia ini diterima olehNya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa. [Al-Baqarah 2:183]



Salam ikhlas daripada fahmi di sini.





MY SWEET HEART

SUKA SAMA SUKA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
2leep.com