Pengusaha warung makan kecil-kecilan yang terletak berhadapan lokasi kejadian tanah runtuh itu yang mengorbankan 16 nyawa Sabtu lalu, terasa kesepian dan sedih sejak tragedi menyayat hati itu berlaku.
"Kalau dahulu tiap-tiap malam saya akan mendengar budak-budak itu mengaji al-Quran bersama-sama, sungguh tenang dan syahdu. Sebelah petang pula mereka akan bermain bola sepak di tanah lapang berdekatan warung saya ini," katanya.
Sudaiyah, 62, yang tinggal bersebelahan warungnya itu, berkata pelajar itu tidak pernah makan di warungnya kerana pemakanan mereka dikawal ketat oleh penjaga di rumah itu.
"Kalau nak masuk pun, hanya mereka yang ingin menghulurkan sumbangan dan sedekah sahaja," katanya.
Beliau berkata, sebelum ini tanah di belakang rumah anak yatim itu pernah runtuh, namun tidak berlaku apa-apa tragedi.
"Pemilik rumah anak yatim itu pernah memanggil 30 lori untuk mengangkut keluar tanah itu," katanya.
Sudaiyah juga berkata, beliau akur dengan kehendak kerajaan yang memintanya berpindah sekiranya didapati kawasan kediamannya yang hampir dengan lokasi kejadian itu tidak selamat.
"Memang saya bimbang berlaku lagi tanah runtuh dan terkena rumah saya. Kalau boleh saya tak mahu pindah sebab sayangkan rumah ini tapi kalau keadaan memaksa, saya akur juga," katanya.
Tinjauan mendapati orang ramai masih berkunjung ke tempat kejadian untuk menyaksikan sendiri keadaan rumah itu. Ada yang mengambil gambar.
Penasihat Rumah Kebajikan Ti-Ratana yang juga Ketua Sami Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratanan Nayaka Maha Thero, turut dilihat melawat kawasan kejadian.
"Sebenarnya sehari sebelum kejadian ini berlaku, dia ada menghadiri Majlis Malam Mesra Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur bersama anak-anak yatim dari rumah itu. Sebab itu dia sedih dan terkilan," kata jurucakap beliau.
Dalam lawatan itu, Dhammaratanan menyumbangkan RM500 kepada rumah anak yatim dan tahfiz itu.
Tinjauan juga mendapati kerja pemeriksaan tanah masih dilakukan oleh beberapa jabatan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Jabatan Mineral dan Geosains.
Tanah di kawasan itu sudah ditutup dengan kanvas biru. Beberapa anggota polis masih mengawal di hadapan lokasi kejadian untuk menghalang orang ramai daripada memasuki zon tertentu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment