gambar ihsan google
Bota - Penduduk Kampung Kubang Ikan, di sini, gempar apabila seorang lelaki yang dilaporkan hilang secara misteri Jumaat lalu, ditemui merayau di kawasan tanah perkuburan. Mangsa, Mohd Nazri Abdullah, 33, dilaporkan lesap dari pandangan selepas keluar dari rumah untuk membeli rokok pada malam Jumaat lalu.
Dia yang ditemui wartawan semalam, bagaimanapun masih keliru selepas pulang dalam keadaan luka selain lapar dan dahaga keterlaluan. “Saya masih tertanya-tanya dan menganggap kehilangan saya selama dua hari itu sesuatu yang misteri. “Sebelum kejadian saya keluar rumah untuk membeli rokok di kedai berhampiran dengan hanya memakai seluar pendek tanpa baju,” katanya.
Menurutnya, dia yang berjalan selang empat rumah dari kediamannya mendakwa tiba-tiba seperti dipukau dan hilang punca. “Saya hanya tersedar pada awal pagi Ahad lalu selepas mendengar azan. Lebih mengejutkan apabila saya mendapati berada di tengah kawasan tanah perkuburan berhampiran kampung.
“Saya yang lemah longlai serta luka cuba mencari jalan pulang, namun masih sesat dan berpusing di tempat sama,” katanya. Katanya, dia mendengar namanya dipanggil berulang kali oleh orang kampung, namun gagal untuk menyahut atau mencari arah panggilan itu.
Menurutnya, dia bagaimanapun berjaya keluar dari ‘dunia misteri’ itu sebelum ditemui dalam keadaan luka pada jam 10.20 pagi Ahad lalu. Isteri mangsa, Salmiah Zainol, 24, berkata, dia memaklumkan pada ketua kampung dan jawatankuasa kampung bagi mencari suaminya selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, penduduk berusaha mencarinya di sekitar kawasan kampung selepas percaya dia disorokkan makhluk halus. “Perkara seumpama ini tidak pernah berlaku dan Nazri pulang dalam keadaan tidak terurus dan penuh selut di badan. Lebih pelik apabila tali seluarnya tersangkut di leher.
“Apabila melihat keadaannya itu saya sangat sedih, namun gembira kerana dia selamat pulang ke rumah,” katanya.
3 comments:
menakutkan..da byk cite dgr mcm nie..
waa...xsangka
menakutkan..kat bota lak tu..dekat je dgn kolej hani..seram!
Post a Comment