OUR ADVERTISEMENT

Wednesday, July 13, 2011

81 peserta sertai Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53


KUALA LUMPUR: Seramai 81 peserta dari 50 negara akan mengambil bahagian dalam Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini bermula Sabtu ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata jumlah peserta dan negara yang menyertai tilawah kali ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu 76 peserta dari 47 negara.
Katanya, daripada jumlah itu, 50 adalah qari manakala bakinya qariah.

Tilawah yang bertema "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" itu akan berlangsung selama lapan malam sehingga 23 Julai ini dan dijadual dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Menurut kenyataan itu, Malaysia akan diwakili qari Negeri Sembilan, Amirrahman Abas dan qariah Johor, Suraya Abu Hassan yang muncul johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Selain wang tunai RM32,200, johan tilawah akan membawa pulang piala iringan,
beserta cenderamata dan sijil penyertaan manakala naib johan akan menerima wang tunai berjumlah RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan.

Pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM13,600, cenderamata dan sijil penyertaan, manakala qari dan qariah lain akan menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM4,800, cenderamata dan sijil penyertaan.

Kehadiran orang ramai dialu-alukan pada majlis yang bermula jam 8.30 malam itu atau menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen atau web TV JAKIM di www.islam.gov.my. - BERNAMA


sumber

No comments:

MY SWEET HEART

SUKA SAMA SUKA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
2leep.com